Tuesday, August 19, 2008

Datuk Che Mat Che Ali




Cara Saiful ikut lunas Islam
August 19, 2008 by Pendeta

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali menjelaskan bahawa upacara sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos lalu adalah mengikut lunas-lunas Islam.

Katanya, ucapan Wallahi, Wabillahi dan Watallahi cukup membuktikan bahawa seseorang itu bersumpah laknat, namun tindakan Mohd. Saiful memegang al-Quran semasa melakukannya adalah pilihan pemuda itu sendiri.

“Saya sebenarnya malas nak komen banyak sebab orang Melayu suka persoalkan perkara yang kadang-kadang mereka sendiri tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah: “Yang penting, saya saksikan sendiri lafaz sumpah itu dan ia menepati syariat Islam. Mana-mana pihak yang ragu-ragu, saya malas nak komen, mungkin mereka lebih pandai.”
Che Mat mengulas tindakan beberapa pihak yang mendakwa sumpah Mohd. Saiful di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini Jumaat lalu mirip amalan penganut Kristian yang memegang kitab Injil semasa melafazkan sumpah.

Mohd. Saiful, 23, yang merupakan bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah laknat bagi membuktikan beliau benar-benar telah diliwat oleh pemimpin PKR itu.

Bagaimanapun, sesetengah pihak kemudian mempertikaikan sumpah itu dengan mendakwa ia tidak mengikut lunas Islam, tidak sah dan mirip amalan penganut agama Kristian.

Semalam, bapa Mohd. Saiful, Azlan Mohd. Lazim mempertahankan tindakan anaknya itu dengan berkata upacara itu dijalankan selepas mendapat nasihat daripada ulama.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Mat menjelaskan, kehadirannya di Masjid Wilayah Persekutuan ketika Mohd. Saiful bersumpah pada Jumaat lalu bukan bagi menasihati Mohd. Saiful mengenai cara melafazkan sumpah yang betul.

Sebaliknya, kata beliau, kehadirannya adalah perlu sebagai ‘tuan rumah’ bagi memastikan unsur-unsur keganasan seperti insiden penyokong Anwar dan Mohd. Saiful merempuh pagar masjid tidak berlaku.-Utusan

No comments: