Wednesday, July 9, 2008
PAS: Ketua Cuepacs lagak 'hero BN'
PAS: Ketua Cuepacs lagak 'hero BN'
Jul 9, 08 5:02pm
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan presiden Cuepacs, Omar Osman, cuba berlagak "hero kepada kerajaan Barisan Nasional" apabila mempertikaikan langkah Kelantan mewajibkan syarat bersolat setiap waktu dalam peraturan kakitangan awam.
Ketua penerangan dewan itu Herman Samsudeen juga mendesak Omar melepaskan jawatannya itu kerana kenyataannya semalam "amat memalukan ramai penjawat awam."
"(Cadangan) peraturan ini juga hanya terhad kepada kakitangan yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam (di Kelantan) masih tertakluk pada peraturan sedia ada," katanya.
"Diharapkan Omar sedar bahawa beliau masih lagi seorang muslim dan wajib untuk menyokong cadangan ini dengan akal fikiran bukan membantah membuta tuli hanya kerana ingin jadi hero kepada kerajaan BN.
"Beliau seharusnya meminta maaf dan meletakkan jawatan sebagai presiden Cuepacs kerana apa yang beliau ucapkan itu sesuatu perkara yang amat memalukan ramai penjawat awam, khususnya dari kalangan mereka yang beragama Islam."
Omar menyifatkan langkah negeri pimpinan PAS itu untuk menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam sebagai menafikan hak kaum lain.
Beliau dilaporkan berkata cadangan itu berat sebelah kerana menerusinya hanya individu beragama Islam boleh dapat kenaikan pangkat atau mendapat pekerjaan.
"Ini kerana hanya mereka (pekerja beragama Islam) bersembahyang lima waktu dan Jumaat. Macam mana dengan pekerja atau individu menganut agama lain? Adakah mereka ini tidak berpeluang bekerja atau naik pangkat langsung.
"Walaupun cadangan mereka bagus bagi memelihara ketelusan kakitangan awam di negeri itu, tetapi kena fikirkan kesesuaian terhadap bangsa lain," beliau dipetik sebagai berkata.
Isnin lepas, menteri besar Kelantan bercadang membawa usul ke Dewan Undangan Negeri untuk memperkenalkan langkah tersebut bagi pemimpin semua peringkat.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata syarat menunaikan solat itu seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya akan mencadangkan di dalam dewan (undangan negeri Kelantan) sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat," katanya.
Sementara exco kerajaan negeri Mohd Amar Abdullah berkata Kelantan sedang menyiapkan enakmen bagi membolehkan mereka yang tidak menunaikan solat lima kali sehari dikenakan tindakan.
Pengerusi jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan dan dakwah dilaporkan berkata, kajian akhir bagi menyiapkan enakmen tersebut sedang dilakukan dan ia dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment